Saturday, January 9, 2010

Tiada Kejohanan Bolasepak Lelaki Bwh 15 Tahun.....


Zol resah, MSSM anggap tiada masalah


Oleh Lukman Salleh


lukmsal@bharian.com.my

'MSN juga berdepan batasan kewangan, ada keutamaan lain'

PADA ketika Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong menyuarakan kebimbangannya, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) tampil memberi keyakinan ketiadaan kejohanan bawah 15 tahun tidak akan membantutkan pembangunan bola sepak negara.

Zolkples, ketika mengulas isu itu, berkata ketiadaan kejohanan bawah 15 tahun - atau apa juga kejohanan peringkat sekolah sudah tentu akan memberikan kesan terutama dalam mencungkil bakat baru ketika bola sepak negara tampak sudah menuju ke arah kebangkitan.


“Sudah tentu ia mempunyai kesan dan juga sesuatu yang merugikan kepada perkembangan sukan ini di peringkat akar umbi,” kata Zolkples, semalam. “Apa juga sukan, tidak kira sama ada bola sepak, apabila tidak dikelolakan sudah pasti akan membawa kesan negatif.

“Ketika sudah nampak bola sepak negara mula bangkit, ketiadaan kejohanan bawah 15 tahun itu boleh menjadi halangan ataupun melewatkan perjalanan mencapai kecemerlangan,” katanya.

Ditanya sama ada MSN akan mengambil alih penganjuran kejohanan bawah-15 tahun itu, Zolkples berkata, buat masa ini belum ada pertimbangan sedemikian.


“MSN juga berdepan batasan kewangan dan mempunyai keutamaan lain,” katanya. “Cuma saya harap dan merayu jika ada penaja-penaja, atau pihak swasta, yang akan tampil membiayai kejohanan ini demi perkembangan bola sepak negara.”


Kelmarin, Berita Harian mendedahkan kejohanan bawah-15 tahun MSSM tidak akan dianjurkan musim ini akibat kekurangan dana.


Bagaimanapun, jurucakap MSSM, cuba meredakan keresahan semua pihak dengan menyatakan sekalipun kejohanan bawah-15 tahun itu tidak diadakan, kategori bawah 12 dan bawah 18 tahun tetap dilangsung selain liga bola sepak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membabitkan umur bawah 14 dan bawah 17 tahun.


“MSSM terpaksa berhemah akibat kekurangan dana sehingga memutuskan tidak menganjurkan kejohanan bawah 15 tahun di peringkat kebangsaan,” kata jurucakap itu yang enggan namanya disiarkan. “Tetapi saingan di peringkat daerah dan negeri tetap akan diadakan.



“Kami pasti pembangunan bola sepak masih berjalan seperti biasa kerana kejohanan bawah 12 dan 18 tahun akan tetap diadakan, begitu juga Liga KPM yang membabitkan sekolah bola sepak setiap negeri untuk bawah 14 dan 17 tahun.”




No comments:

Post a Comment